Dato’ Dr Madeline Berma (1958-2025) Dalam Kenangan

- Pemergian Dato’ Dr Madeline Berma pada pagi 30 Disember 2025 di rumahnya di Bandar Baru Bangi merupakan satu berita dukacita yang amat mendalam pada saya dan kawan-kawan lain yang mengenali beliau dengan dekat. Beliau seorang sahabat yang susah senang bersama. Ada beberapa kenangan yang masih kukuh dalam ingatan saya tentang beliau yang ingin saya kongsikan di sini.
- Kami menjadi erat sejak zaman arwah Profesor Ishak Shari, sahabat karib saya, memimpin IKMAS UKM (1997-2021). Madeline dari Fakulti Ekonomi UKM juga memang rapat dengannya. Pada masa itu, Ishak mengemudikan beberapa projek kajian sosio-ekonomi Negeri Sarawak termasuk kajian terakhir beliau pada tahun 2000-2001 yang diikutsertai oleh beberapa teman rapat seperti kawan lama Pak Halim Ali, saya, Madeline serta beberapa orang lagi penyelidik termasuk mereka yang jauh lebih muda. Setelah Ishak meninggal dunia tanpa diduga pada 30 Jun 2001, saya diamanahkan supaya mengambilalih teraju projek itu. Saya bernasib baik kerana kawan-kawan ini gigih sebagai satu pasukan sampai selesai. Akhirnya, dengan kerjasama Madeline dan kawan-kawan lain dalam pasukan dari UKM serta kerjasama pegawai-pegawai dari Sarawak State Planning Unit, kami berjaya merumuskan perakuan “The State Social Agenda for Sarawak” yang dibentangkan kepada Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak yang dihadiri sendiri oleh YAB Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika itu dan diterima baik oleh mereka. Data dan analisis mengenai keadaan di lapangan dalam kajian itu serta perakuan-perakuan yang dikemukakan tentu sekali tidak akan sempurna dan lengkap tanpa sumbangan penting Madeline, seorang pakar ekonomi pembangunan anak Sarawak.
- Madeline pernah beberapa kali berbincang dengan saya cabaran dan masa depan ilmu pembangunan yang begitu dekat di hatinya. Beliau juga sering berkongsi keperihatinannya mengenai pelbagai isu negara dan masyarakat, termasuk kemelut integriti yang menimpa alma mater beliau, UKM dalam dua tiga tahun kebelakangan ini. Beliau seorang tokoh anak Malaysia dari Sarawak yang jelas pandangan hidupnya untuk memajukan negara Malaysia. Pada saya, beliau adalah jambatan penting yang merapatkan hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, menjernihkan sebarang salah faham jika ada, serta bertekad untuk membina Bangsa Malaysia yang bersatu. Ini pernah dinyatakan dalam sesi wawancara dengan beliau dua tahun yang lalu bagi projek yang saya pimpin mengenai Negara Bangsa dan Bangsa Malaysia. Seorang pengkaji yang gigih mengenai kemiskinan dan keterpinggiran komuniti, beliau tidak jemu-jemu mengangkat isu golongan miskin dan terpinggir menjadi bicara arus perdana dan mempengaruhi polisi negara. Beliau sering mengutarakan pandangan ini sebagai seorang ahli seumur hidup Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM), dan beliau pernah mewakili PSSM ke Persidangan Dwi-Tahunan Asian Association of Social Science Research Councils (AASSREC) di New Delhi, India pada tahun 2006. Sebagai salah seorang ahli panel penasihat kepada Kluster Perpaduan Nasional dan Masyarakat Progresif Akademi Profesor Malaysia (APM), beliau juga mengungkapkan pendirian yang sama tentang perpaduan dan integrasi nasional serta pentingnya menangani isu kemiskinan dan ketaksamaan bagi memantapkan kesepaduan sosial.
- Dalam bidang pendidikan, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan 2018 yang ditubuhkan oleh Menteri Pendidikan YB Dr Mazlee Malek ketika itu. Disebabkan keadaan kesihatan pengerusi Jawatankuasa iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Bajunid tidak mengizinkan, Dr Madeline memangku jawatan itu. Saya penah menjemput beliau dalam kapasiti itu untuk ke Kuala Terengganu pada tahun 2019 menghadiri acara pertandingan akhir Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Piala YDSM, salah satu program perdana di bawah Yayasan DiRaja Sultan Mizan, sebuah institusi yang dipengerusikan oleh KDYMM Sultan Mizan. Hasrat kami ialah melalui pemerhatian ikutserta beliau dalam program itu, dan diikuti dengan dialog bersama kami selepas itu, beliau dapat melaporkan kepada YB Menteri Pendidikan tentang pengalaman di Terengganu yang menerapkan falsafah edutainment dan membina bakat pelajar supaya “semua menjadi juara” di bawah program yang sudah berjalan selama 10 tahun ketika itu. Beliau begitu seronok dan terpesona menyaksikan sendiri bagaimana bakat pelajar sekolah rendah dan menengah dapat diserlahkan melalui program itu dan berjanji akan menyampaikan laporan kepada Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan dan YB Menteri.
- Mendiang Dato’ Dr Madeline Berma seorang tokoh anak Sarawak yang berani, berprinsip dan jelas pendiriannya untuk rakyat dan negara. Pemergian beliau pada usia masih mampu membuat sumbangan penting kepada negara dan masyarakat dalam pelbagai bidang terutamanya pembangunan, pendidikan dan keilmuwan, serta aktivisme sosial memperjuangkan hak masyarakat peribumi, hak wanita dan hak asasi manusia merupakan satu kehilangan besar kepada negara secara keseluruhannya, dan lebih-lebih lagi kepada Sarawak tempat lahirnya. Memang benar seperti diungkapkan oleh YAB Premier Abang Johari, Sarawak kehilangan “salah seorang puteri terbaik anak Sarawak” yang menyumbangkan kepakarannya untuk pembangunan Sarawak; Malaysia pula kehilangan seorang pakar pembangunan dan pemikir yang gigih untuk kemajuan negara dan masyarakat. Ucapan takziah yang mendalam dihulurkan kepada kaum keluarga dan sanak saudara beliau, mengharapkan mereka tetap tabah menghadapi dugaan besar ini.
Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong
Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia;
dan Penasihat Kluster Perpaduan Nasional dan Masyarakat Progresif
Akademi Profesor Malaysia
31 Disember 2025
