PERLEMBAGAAN BAGI
PERSATUAN SAINS SOSIAL MALAYSIA
(Malaysian Social Science Association)
(No. Pendaftaran 2363, Selangor)

UNDANG-UNDANG I: NAMA, ALAMAT POS DAN TEMPAT MESYUARAT

  1. Persatuan ini dikenali dengan nama: Persatuan Sains Sosial Malaysia (Malaysian Social Science Association), dan selepas ini disebut Persatuan saja.
  2. Alamat dan tempat urusan pertubuhan ialah di P.O. Box 104, Pejabat Pos   Kajang, 43007 Kajang, Selangor atau di tempat lain atau tempat-tempat akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat ialah d/a Institut Kajian Malaysia (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM, Bangi, Selangor Darul Ehsan. Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran   Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

UNDANG-UNDANG II: TUJUAN DAN MATLAMAT

  1. Tujuan Persatuan ialah mempergiat, mendorong dan memperkembang pengajian dan penyelidikan dalam bidang-bidang Sains Sosial dan bidang-bidang lain yang berkaitan
  2. Untuk melaksanakan pada waktu ini Persatuan mempunyai kuasa;
    1. Untuk membentuk dan memtadbirkan satu persatuan kebangsaan yang terdiri daripada orang-orang dan organisasi-organisasi yang berminat dalam lapangan sains sosial dan perkembangannya di Malaysia;
    2. Untuk memperkembang dan memajukan pengkajian, penyelidikan dan penerbitan dalam bidang sains sosial;
    3. Untuk mengumpulkan dan menyebarkan bahan pengetahuan tentang sains sosial;
    4. Untuk menggubal piawai tatatertib dan mendorong etika professional yang sesuai di kalangan para anggotanya;
    5. Untuk mencetak, menerbitkan dan menjual suratkhabar, bulletin, penerbitan berkala, jurnal, monograf dan buku bagi penyebaran ilmu pengetahuan dalam bidang sains social dan keterangan-keterangan tentang kegiatan-kegiatan Persatuan; sebarang penerbitan hendaklah mendapat kebenaran pihak yang berkenaan terlebih dahulu tertakhluk kepada undang-undang.
    6. Untuk menerima, mentadbirkan dan mempergunakan sebarang sumbangan kewangan atau pemberian lain yang dianggap sesuai atau membantu melaksanakan cita-cita Persatuan;
    7. Untuk membentuk atau memberi bantuan terhadap pembentukan persatuan-persatuan atau institusi-institusi yang bertujuan untuk memperkembangkan sains social;
    8. Untuk mendorong perkembangan, pendidikan dan latihan dalam lapangan sains sosial, dan bagi mencapai tujuan ini berusaha:
    9. Secara umumnya, menjalankan segala sesuatu bagi mencapai cita-cita Persatuan; asalkan Persatuan tidak akan menggunakan tabung kewangan bagi menyokong mana-mana parti politik, atau memaksa anggotanya menerima sebarang peraturan, sekatan atau syarat yang akan menjadikannya Peratuan sebagai sebuah kesatuan sekerja.
    10. Untuk mengadakan hubungan dan kerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan, universiti-universiti dan institusi-institusi lain yang sesuai, dan firma-firma swasta yang berkenaan dan berminat terhadap perkembangan, pendidikan dan latihan dalam bidang sains social;
    11. Secara umumnya, menjalankan segala sesuatu bagi mencapai cita-cita Persatuan, asalkan Persatuan tidak akan menggunakan tabung kewangan bagi menyokong mana-mana organisasi atau cita-cita politik, atau berusaha memaksakan kepada para anggotanya atau orang-orang lain sebarang peraturan, sekatan atau syarat yang jika diterima sebagai cita-cita Persatuan akan menjadikannya sebuah kesatuan sekerja.
    12. Untuk membeli, menjual, memajak, menyewa, menggadai, memiliki dan menguruskan hartanah dengan apa-apa cara jua dengan persetujuan Mesyuarat Agong untuk kegunaan Persatuan selaras dengan tujuannya.
    13. Untuk menjalankan kegiatan-kegiatan perniagaan dengan syarat semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Persatuan ini hasil dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalan tujuan-tujuan Persatuan ini, dan tidak sebahagian pun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada sebarang ahli Persatuan. Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik, untuk membayar gaji, elaun atau perbelanjaan atau kesemuanya kepada sebarang ahli atau pekerja Persatuan ini dengan syarat dia/mereka telah memberikan perkhidmatan kepada Peratuan.
    14. Persatuan ini boleh menjalankan kutipan derma daripada bukan ahli dan menerima sumbangan bagi membiayai dan menjalankan objektif Persatuan dengan syarat mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa yang berkenaan dan Pendaftar Pertubuhan.
    15. Persatuan ini boleh menjalankan aktiviti-aktiviti bagi menambahkan dana Persatuan untuk mencapai objektif dan tujuan Persatuan dengan syarat mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa yang berkenaan (jika perlu).

UNDANG-UNDANG III: KEAHLIAN

  1. Anggota Biasa:
    Sesiapa yang mempunyai ijazah universiti atau diploma mana-mana cabang sains social atau bidang-bidang yang sehubung dengannya, atau yang mempunyai kelayakan lainnya, baik professional mahupun akademik, yang dianggap sesuai oleh Jawatankuasa Kerja dalam hubungan denga peraturan ini, bolehlah diterima sebagai Anggota Biasa. Anggota-anggota Biasa berhak hadir dan mengundi dalam semua mesyuarat agong Persatuan dan layak dipilih menganggotai Tabung Amanah sains sosial, dan jawatankuasa-jawatankuasa lainnya yang dibentuk oleh Persatuan dari semasa ke semasa.
  2. Anggota Bersekutu:
    Sesiapa yang mempunyai minat terhadap cita-cita Persatuan boleh diterima sebagai Anggota Bersekutu. Anggota-anggota Bersekutu berhak menghadiri semua mesyuarat tersebut, tetapi tidak berhak di pilih menganggotai Jawatankuasa Persatuan.
  3. Anggota Siswa:
    Para Siswa yang sah di institusi-institusi pengajian tinggi boleh diterima sebagai Anggota Siswa dengan syarat telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor universiti yang berkenaan. Anggota siswa berhak menghadiri semua mesyuarat, tetapi tidak berhak mengundi dan dipilih menganggotai sebarang jawatankuasa Persatuan.
  4. Anggota Seumur Hidup:
    Sesiapa yang telah membayar segala yuran yang dikenakan kepada Anggota Seumur Hidup sebagaimana yang dinyatakan dalam Fasal IV (1), dan mempunyai kelayakan seperti yang dinyatakan dalam Fasal (III) (1), boleh diterima sebagai anggota seumur hidup.
  5. Anggota Institusi dan Perpustakaan:
    Sebarang Institusi atau organisasi dan perpustakaan yang berminat terhadap cita-cita Persatuan boleh diterima sebagai Anggota Institusi dan Perpustakaan. Anggota-anggota Institusi dan Perpustakaan berhak menghantar seorang wakil untuk menghadiri mesyuarat Agong Tahunan, tetapi tidak berhak untuk mengundi dalam mesyuarat itudan wakil tersebut tidak juga berhak untuk dipilih menganggotai Jawatankuasa Kerja.
  6. Anggota Bergabung:
    Sebarang persatuan berdaftar yang dianggap sesuai oleh Jawatankuasa Persatuan boleh menjadi Anggota Bergabung. Anggota-anggota bergabung berhak menghantar seorang wakil bagi setiap dua puluh orang ahli yang berdaftar pada tiga puluh satu haribulan Disember tahun sebelumnya, dengan syarat setiap anggota bergabung itu tidak menghantar lebih dari dua puluh orang wakil untuk hadir dalam semua Mesyuarat Agong Persatuan. Wakil in tidak berhak mengundi dan tidak berhak menganggotai Jawatankuasa Kerja.
  7. Hak-Hak Anggota:
    Dengan syarat-syarat yang dinyatakan di atas bagi setiap kategori anggota maka setiap anggota berhak untuk hadir dan turut serta dalam Mesyuarat Agong Tahunan dan kegiatan-kegiatan lain Persatuan dan berhak menerima satu salinan jurnal rasmi Persatuan.
  8. Memohon Menjadi Anggota:
    Sesiapa yang ingin menjadi anggota Persatuan hendaklah membuat permohonan bertulis kepada Setiausaha dan menjelaskan sekurang-kurangnya yuran tahunan yang pertama. Kelayakan seorang pemohon itu untuk menjadi anggota diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja.
  9. Permohonan Yang Lulus:
    Tiap-tiap pemohon yang pemohonnya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas dan setelah membayar yuran tahunan yang pertama akan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli

UNDANG-UNDANG IV: YURAN KEAHLIAN DAN YURAN-YURAN LAIN

  1. Yuran tahunan yang harus dijelaskan kepada Persatuan ialah RM20.00 bagi Anggota Biasa dan Anggota Bersekutu; RM5.00 bagi Anggota Siswa dan bagi Anggota Bergabung, yurannya ialah RM1.00 setahun bagi setiap ahli bergabung itu pada 31hb Disember tahun sebelumnya, sehingga jumlah maksimum RM500.00 setahun. Yuran yang perlu dibayar bagi Ahli Seumur Hidup ialah RM200.00 yaqng dibayar sekali sahaja. Persatuan boleh meminda jumlah yuran tahunan sesuai dengan keperluan semasa, melalui persetujuan Mesyuarat Agong.
  2. Yuran tahunan hendaklah dijelaskan pada hari pertama bulanJanuari setiap tahun.
  3. Anggota membiarkan hutang yurannya lebih dari 2 tahun akan menerima   surat ingatan yang ditandatangani oleh wakil Setiausaha, dan hilangkan hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dibayar.
  4. Anggota yang hutang sebanyak lebih dari jumlah yuran 3 tahun dengan sendirinya terhenti menjadi anggota Persatuan, dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya, dengan syarat mereka berpuashati yang anggota itu telah menerima kenyataan    berkenaan hutangnya terlebih dahulu.
  5. Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi   sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

UNDANG-UNDANG V: KEBERHENTIAN

Anggota yang hendak berhenti daripaa menjadi anggota Persatuan mestilah memberi kenyataan bertulis dua bulan terlebih dahulu kepada Setiausaha dan membayar segala hutang-hutangnya.

UNDANG-UNDANG VI: MESYUARAT AGONG

  1. Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada mesyuarat agong. Korum mesyuarat agong dikira cukup sekiranya oleh ahli-ahli yang berjumlah lebih dari 2 kali jumlah bilangan ahli Jawatankuasa.
  2. Jika Korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 60 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa mengubah undang-undang Persatuan dan membuat kelutusan-keputusan mengenai semua ahli-ahli.
  3. Mesyuarat Agong Tahunan bagi Persatuanhendaklah diadakan dengan secepat yang mungkin setelah akhir tahun kewangan, pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyaurat agong tahunan ialah:
    1. Menerima Laporan Jawatankuasa berkenaan kerja-kerja persatuan di dalam tahun yang lalu;
    2. Menerima laporan Bendahari dan penyata wang yang telah diaudit bagi tahun lalu;
    3. Melantik ahli-ahli jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk 2 tahun yang akan datang;
    4. Menguruskan lain-lain Jawatankuasa dan oemeriksa kira-kira   untuk 2 tahun yang lalu;
  4. Pengumuman awal kerana mesyuarat agong tahunan yang menerangkan tarikh, waktu dan tempat, dan panggilan untuk memberi cadangan-cadangan yang hendak dibicarakan, cadangan-cadangan untuk meminda undang-undang dan pencalonan-pencalonan untuk pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa, hendaklah dikirimkan oleh Setiausaha kepada tiap-tiap anggota tidak lewat daripada 30 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat, dan pengumuman ini hendaklah ditunjukkan supaya jelas kelihatan di pejabat yang telah didaftarkan atau ditempat mesyuarat bagi Persatuan.
  5. Pencalonan-pencalonan untuk oemilihan pegawai-pegawai dan cadangan-cadangan untuk dirundingkan di dalam mesyaurat hendaklah dihantar suoaya sampai kepada Setiausaha tidak lewat daripada 7 hari selepas penerimaan oengumuman mesyuarat.
  6. Setiausaha hendaklah menghantarkan kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum diadakan mesyuarat agenda (acara mesyuarat) termasuk salinan-salinan peringatan mesyuarat dan laporan-laporan, cadangan-cadangan dan pencalonan-pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai berserta dengan penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini   hendaklah senang diperolehi untuk dibaca oleh  ahli-ahli  dari  alamat berdaftar atau di tempat mesyuarat Persatuan.
  7. Mesyuarat Agong Khas bagi Persatuan in boleh diadakan:
    1. bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa,
    2. atas permintaan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.
  8. Mesyuarat Agong Khas yang diminta oleh anggota-anggota hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat ini.
  9. Pengumuman dan agenda untuk mesyuarat agong khas itu hendaklah diedarkan kepada demua anggota-anggota oleh Setiausaha sekurangnya 15 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat.
  10. Fasal (1) dan (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan mesyuarat aging tahunan boleh digunakan untuk mesyuarat agong luar biasa, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat agong khas atas permintaan anggota-anggota maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan, dan sekurang-kurangnya 6 bulan daripada tarikh ini mesyuarat agong khas atas permintaan agonggota-anggota dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
  11. Setiausaha hendaklah menghantarkan kepada semua anggota salinan rangka peringatan tiap-tiap mesyuarat agong tahunan atau khas dengan seberapa segera setelah selesainya mesyuarat ini.
  12. Hanya Anggota Biasa dan Anggota Seumur Hidup berhak mengundi dan menjadi calon. Anggota Bersekutu hanya berhak mengundi tetapi tidak berhak menjadi calon jawatankuasa kerja.

UNDANG-UNDANG VII: JAWATANKUASA

  1. Sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada jawatan-jawatan berikut, yang disebut sebagai Pegawai Persatuan, hendaklah dipilih sekali dalam tempoh dua tahun mesyuarat agong. Pemegang-pemegang jawatan Persatuan dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas-tugas memerintah dalam Persatuan ini hendaklah warganegara Malaysia
    1. Presiden
    2. Timbalan Presiden
    3. Tiga orang Naib Presiden
    4. Setiausaha Kehormat
    5. Penolong Setiausaha Kehormat
    6. Bendahari Kehormat
    7. Tujuh orang Ahli Jawatankuasa Biasa
  2. Nama-nama untuk jawatan-jawatan yang di atas hendaklah dicadangkan dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan secara mengundi oleh    ahli-ahli di dalam mesyuarat agong tahunan. Semua pegawai-pegawai, kecuali Bendahari, boleh dilantik semula sekurang-kurangnya setiap 2 tahun.
  3. Pekerjaan jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat jkeputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditetapkan oleh mesyuarat agong. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh membuat tindakan bertentangan dengan keputusan mesyuarat agong dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa taat kepada keputusan mesyuarat agong. Jawatankuasa hendaklah memberi laporannya berkenaan kegiatan-kegiatan di dalam tahun lalu kepada tiap-tiap mesyuarat agong tahunan.
  4. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam 3 bulan dan 10 hari pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendkalah diberikan kepada ahli-ahli. Presiden, dengan bersendirian, atau tidak kurang daripada 3 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
  5. Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka bolehlah Setiausaha menerima kelulusan daripada Jawatankuasa dengan surat pekelilingan. Syarat-syarat yang berikutan hendaklah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima. Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa kemudiannya untuk dicatitkan di dalam peringatan mesyuarat.
    1. Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang dihantar kepada tiap-tiap anggota  Jawatankuasa;
    2. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan anggota-anggota Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka kepada cadangan itu; dan
    3. Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.
  6. Anggota Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.
  7. Jika seorang anggota Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidakada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik lain anggota Persatuan memenuhkan kekosongan itu sehingga mesyuarat agong tahunan diadakan.
  8. Jawatankuasa boleh memberi perintah kepada Setiausaha dan lain-lain pegawai untuk menjalankan urusan-urusan Peratuan. Ia boleh melantik pengurus-pengurus dan kakitangan-kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan merosakkan Persatuan.
  9. Ia boleh memberi perintah kepada Pengamanah berkenaan kegunaan atau penjualan harta Pertubuhan yang tetap.
  10. Di antara mesyuarat-mesyuarat agong, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan bila mustahak memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang.
  11. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat di dalam mesyuarat agong, keputusan Jawatankuasa terhadap anggota-anggota adalah muktamad jika atau sehingga tidak dirombak oleh keputusan mesyuarat agong.
  12. Jawatankuasa Kerja mempunyai kuasa untuk membentuk Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil untuk tujuan-tujuan dan tugas-tugas tertentu. Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil itu hendaklah mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa Kerja.

UNDANG-UNDANG VIII: KEWAJIPAN PEGAWAI-PEGAWAI

  1. Presiden dalam masa jawatannya, hendaklah menjadi pengerusi semua Mesyuarat Agong dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.
  2. Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden atau Pengerusi semasa ketiadaannya.
  3. Naib-Naib Presiden hendaklah menolong Presiden dan tugas-tugasnya dan salah seorang daripadanya boleh dilantik oleh Presiden untuk memangku jawatan Timbalan Presiden semasa beliau tidak ada.
  4. Setiausaha hendaklah menjalan kerja Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agong dan mesyuarat jawatankuasa. Ia bertanggungjawab menguruskan hal surat-menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali kira-kira dan buku kewangan. Setiausaha juga hendaklah menyimpan buku daftar anggta yang lengkap dengan bilangan nama ahli, tarikh menjadi ahli, nombor kad pengenalan, alamat dan pekerjaan.
  5. Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.
  6. Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas kebetulannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama Presiden atau Setiausaha.

UNDANG-UNDANG IX: PENGURUSAN KEWANGAN

  1. Disyaratkan kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi undang-undang ini, wang Persatuan boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji, dan upah memeriksa kira-kira, tetapi tidaklah boleh digunakan untuk apa-apa tujuan yang bercanggah dengan matlamat persatuan.
  2. Bendahari dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM100.00 pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan di dalam tempoh tujuh hari ke dalam bank yang disetujui oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.
  3. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Bendahari dan Setiausaha atau Presiden. Keranaketiadaan Setiausaha atau Bendahari maka bolehla Jawatankuasa melantik sesiapa di Antara mereka sebagai pengganti untuk menurunkan tandatangan.
  4. Perbelanjaan yang lebih daripada RM500.00 bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM1,000.00 bagi sebulan tidak boleh  dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agong terlebih dahulu.
  5. Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan beserta timbangan kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan dan diperiksa oleh juruaudit. Juruaudit-juruaudit mengikut Undang-Undang XI, dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan mesyuarat agong tahunan yang berikutan, dan salinan-salinannya hendaklah boleh diperolehi untuk makluman ahli dari alamat yang berdaftar atau dari tempat mesyuarat bagi Persatuan.
  6. Tahun Kewangan Persatuan ini bermula pada 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.

UNDANG-UNDANG X: PEMERIKSA KIRA-KIRA

  1. Satu orang atau lebih yang bukannya pegawai-pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam mesyuarat agong tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira Kehormat. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan tidak boleh dilantik semula.

    ATAU

    Mesyuarat  agong  tahunan  boleh  melantik untuk diupah  seorang  Pemeriksa Kira-Kira yang bertauliah (atau Syarikat Akauntan) yang bukan anggota Persatuan. Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik seperti ini akan memegang jawatannya sehingga ia meletakkan jawatan ataupun sehingga diberhentikan daripada jawatannya oleh mesyaurat agong.

  2. Pemeriksa – Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun, dan membuat laporan atau pengesahan untuk mesyuarat agong. Ia mereka harus juga dikehendaki bila-bila masa oleh Presiden atau Pengerusi memeriksa kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh jawatan mereka dan membuat laporan kepada jawatankuasa.

UNDANG-UNDANG XII: LARANGAN

  1. Dilarang menghisap candu di dalam rumah Persatuan dan membawa masuk perempuan lucah dan orang-orang jahat
  2. Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.
  3. Persatuan atau anggota-anggotanya tidak boleh mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti yang diterangkan dai dlam Undang-Undang Kesatuan Sekerja, 1959.
  4. Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada anggota-anggota atau tidak, atas nama Pesatuan atau pegawai-pegawainya atau Jawatankuasa atau anggota.
  5. Semua anggota-anggota yang berkhidmat di dalam jawatankuasa dan tiap-tiap pegwai lain yang menjalankan tugas-tugas pemerintah di dalam Persatuan ini hendaklah warganegara-warganegara Malaysia.
  6. Persatuan ini tidak boleh mengadakan apa-apa pergabungan atau perhubungan di luar Malaysia.

UNDANG-UNDANG XIII: PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agong. Perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada undang-undang hanya boleh dijalankan kuatkuasanya mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Permohonan untuk perubahan atau pindaan undang-undang hendaklah dikemukakan kepada pendaftar Pertubuhan dalam masa 28 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agong meluluskan perubahan atau pindaan itu.

UNDANG-UNDANG XIV: PEMBUBARAN

  1. Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga-per-lima jumlah semua anggota-anggota.
  2. Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas makasegala hutng dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujukan di dalam mesyuarat agong atau mesyuarat agong khas.
  3. Keputusan pembubaran hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Persatuan di dalam tempoh 14 hari dari keputusan itu diambil, salinan keputusan tersebut hendaklah ditandatangi oleh seorang pegawai kanan persatuan dan tujuh orang ahli biasa.

Nota:  Perlembagaan ini berkuatkuasa selepas pindaan terakhir yang diluluskan oleh ahli PSSM dan diterima oleh Registrar of Society pada tahun 2010. Perlembagaan PSSM yang pertama diserahkan kepada Registrar of Society pada tahun 1978.

Perlembagaan ini disemak oleh:

Prof. Dr. Rashila Ramli, Presiden PSSM 2014-2016
Dan Dr. Wan Pspa Melati Wan >>>> , Setiausaha Kehormat PSSM 2014-2016

Jun 1, 2014.