Perkembangan Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan
Masyarakat manusia pada akhir abad ke-20 kini sedang menghadapi pergolakan besar dan mengalami perubahan yang pesat dan mendalam. Bidang ilmu pula terus menerus berkembang. Untuk memainkan peranannya dengan lebih berkesan pada masa hadapan, Lembaga Editorial dan para penyumbang untuk Akademika perlu peka terhadap beberapa perkembangan penting, baik dalam bidang ilmu mahupun dalam masyarakat yang turut memberi dampak ke atas bidang ilmu. Di sini kami akan membuat ulasan ringkas mengenai beberapa perkembangan penting ini.
Pertama, pertumbuhan prolifik pascamodenisme, pasca-Marxisme, feminisme, teori pascakolonial, pengajian budaya dan aliran intelektual lain telah menimbulkan kekeliruan yang tidak sedikit di kalangan barisan ilmuan akademik konvensional. Oleh kerana aliran pemikiran baru ini tidak terkongkong dalam bingkai satu-satu disiplin, maka sempadan antara disiplin mulai cair, sehingga ia menyebabkan bercambahnya kecenderungan dan aktiviti lintas batas antara pelbagai disiplin. Percambahan yang rancak ini memberikan satu cabaran serius kepada perspektif teori “konvensional” atau “tradisional” dan kepada kebiasaan pendirian “satu disiplin”. Walau bagaimanapun, satu perdebatan yang bermakna di antara perspektif teori “konvensional/tradisional” yang menjadi pegangan selama ini dengan “aliran intelektualbaru yang mencabar” ini sedang berlaku. Perdebatan ini sepatutnya digalakkan kerana ia boleh melahirkan proses saling mengisi di antara kedua-duanya. Sementara kita tidak boleh menerima yang baru bulat-bulat tanpa sikap kritis, kita juga tidak boleh menjadi seperti petapa intelektual yang mempercayai kemurnian bidang ilmu sendiri dan bermati-matian mempertahankan monopoli ke atas “wilayah” ilmu itu, dan hanya melepaskan batuk di tangga terhadap kekuatan pendekatan pelbagai disiplin.
Kedua, beberapa perkembangan yang berlaku di luar wacana ilmiah bukan sahaja telah membawa dilema dan cabaran baru kepada kehidupan manusia dan hubungan antarabangsa, tetapi juga telah menguji parameter ilmu pengetahuan dan pengertian kita, dan menghadapkan kita dengan medan pertarungan intelektual yang baru. Perkembangan-perkembangan ini, khususnya peningkatan pemikiran neo-liberal di kalangan pemimpin politik dan peneraju dunia perniagaan serta penjelmaannya menjadi dasar pemerintah di serata dunia; peluasan kuasa pasaran dan proses globalisasi dengan pemampatan masa dan ruang; serta perkembangan pesat teknologi maklumat termasuk Internet, telah mencipta perbatasan baru, yang sebahagian besar daripadanya tidakpun diketahui. Sebagai contoh, krisis kewangan dan ekonomi di Asia kini, yang merupakan satu krisis global dengan pemicu serantau, secara jelas menunjukkan bukan sahaja ketidakupayaan pemerintah untuk menanganinya, tetapi juga ketidakupayaan disiplin-disiplin tradisional untuk menganalisis dan menafsirkan fenomena ini dengan memuaskan and memberikan kepimpinan intelektual. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab para ilmuan untuk membuat perenungan dan kritikan diri, dan dengan teliti mengkaji dan mengemukakan analisis tentang pelbagai proses yang sedang berlangsung supaya ia dapat dibahas di kalangan komuniti ilmuan, dan juga untuk menjadi rujukan para pembuat dasar dan orang awam. Proses-proses ini tidak dapat dihuraikan dengan sempurna dengan semata-mata bergantung pada paradigma “lama” ataupun pada alat-alat analisis daripada satu disiplin sahaja.
Ketiga, seiring dengan beberapa proses yang dibincangkan dalam perkara kedua di atas, satu aliran yang merimaskan telah muncul, yang sebahagiannya dicetuskan oleh negara dan gerak kuasa pasaran, yang menuntut supaya ilmu pengetahuan bersifat utilitarian dan tunduk kepada kehendak pasaran. Konsep “kerelevanan” ilmu telah ditafsirkan secara sempit daripada sudut jangka pendek kepentingan pasaran. Aliran ini menggugat peranan institusi pendidikan, seperti universiti sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, serta sebagai gedung budaya dan peradaban, yang misinya ialah untuk pendidikan manusia atau insan, dan bukan semata-mata untuk latihan pembangunan sumber manusia. Dalam masyarakat dunia yang secara berat sebelah menekankan kepentingan sains dan teknologi dan keunggulan kuasa pasaran, pelbagai bidang ilmu pengetahuan, khususnya sains kemasyarakatan dan kemanusiaan tulen, menghadapi tekanan hebat untuk mewajarkan kerelevanan masing-masing, sekalipun terdapat diktum yang sudah lama teruji bahawa disiplin ” soft ” atau tulen ini berperanan untuk pembinaan akal budi kemanusiaan yang halus.
Berdasarkan perkembangan di atas, para sarjana sains kemasyarakatan dan kemanusiaan tidak harus bersikap nostalgik dan defensif. Kita perlu memandang ke hadapan, bersikap imaginatif dan inovatif. Kita perlu menyedari bahawa kuasa pasaran dipacu oleh kepentingan jangka pendek. Sementara itu negara pula yang bertindak balas terhadapnya sering mengubah posisinya terutamanya apabila ia berkonflik dengan kuasa pasaran, dengan yang satu cuba mendisiplin yang lain. Komuniti ilmuan, terutamanya mereka daripada disiplin yang dikatakan ” soft ” tersebut, perlu mengambil pandangan jangka panjang dalam perancangan akademik dan usaha intelektual mereka. Sementara penyesuaian perlu dilakukan dan fikiran yang ketinggalan zaman dikikis, kita tidak boleh mentakrif semula “kerelevanan” disiplin kita daripada kacamata jangka pendek semata-mata. Cita-cita yang tidak kunjung padam bagi pendidikan untukpembangunan insan dan pembinaan akal budi kemanusiaan adalah pandangan jangka panjang yang seharusnya mendasari sebarang penyesuaian jangka pendek yang perlu dilakukan untuk tujuan menguasai kemahiran. Dengan kata lain, penguasaan kemahiran bagi pembangunan sumber harus dipadukan dengan pendidikan untuk membina insan dan penghalusan akal budi umat manusia itu sendiri. Ini menegaskan kerelevanan disiplin-disiplin tulen melampaui keterbatasan temposentrisme masa kini.
Petikan rencana pengarang Akademika (jurnal sains kemasyarakatan dan kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia ) Bilangan 53, Julai 1998. Diterbitkan semula dengan kebenaran sidang editor Akademika. Rencana pengarang ini ditulis oleh Ketua Editor Akademika, Abdul Rahman Embong.