Majlis Memperingati Allahyarham Profesor Dr Syed Husin Ali di Universiti Malaya
Satu majlis untuk memperingati Allahyarham Profesor Syed Husin Ali yang meninggal dunia pada 29 Jun 2024 telah diadakan di Auditorium IPPP, Universiti Malaya pada petang 21 September 2024, dua hari sebelum tarikh ulang tahun kelahiran beliau ke-88 pada 23 September 2024. Majlis yang dihadiri kira-kira 300 orang itu disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Penggerak utama Majlis ini ialah Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dan Pusat Sejarah Rakyat (PSR) melalui Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penganjur. Prof Rahman ialah sekaligus Penasihat Khas PSSM dan juga ahli Lembaga Pengarah PSR. Sebagai tokoh tersohor sains sosial, Pak Syed Husin telah memimpin PSSM selama sepuluh tahun selaku Presiden dari 1980 hingga 1990. Setelah bersara dari politik (kecuali jawatan penasihat PKR), beliau menubuhkan Pusat Sejarah Rakyat pada Oktober 2011 dan menjadi Pengerusinya hingga akhir hayatnya.
PSSM dan PSR bekerjasama dengan Universiti Malaya, khususnya Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Jabatan Antroplogi dan Sosiologi di mana beliau berkhidmat selama 28 tahun sehingga dipaksa bersara. Rakan-rakan kerjasama yang lain ialah Persatuan Naratif Malaysia, GerakBudaya, PKAUM, PBMUM, Majlis Belia Malaysia, Lestari Hikmah, GERAK dan ALIRAN. Kerja persiapan dan pelaksanaan majlis itu mendapat banyak bantuan dari Pejabat Komunikasi Korporat UM dan team pegawai Pejabat Perdana Menteri.
Dalam Majlis pada 21 September itu, YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan dua perkara penting. Pertama ialah penubuhan Kursi Syed Husin Ali di Universiti Malaya dan keduanya, dana sebanyak RM 200,000.00 untuk PSSM. Penubuhan Kursi Syed Husin Ali bertujuan untuk menginstitusikan legasi keilmuwan Pak Syed di tempat asalnya di UM, dengan harapan agar ilmuwan senior yang dilantik sebagai penyandangnya nanti mampu meneruskan kajian dalam bidang kepakaran Pak Syed yang luas dan juga mempunyai komitmen dan jiwa gigih yang dipancarkan beliau. Dana RM 200,000.00 itu pula untuk digunakan oleh PSSM dan juga PSR bagi meneruskan legasi ilmu Pak Syed di luar kerangka universiti.
Syukur alhamdulillah, dua pengumuman yang bermakna oleh YAB PM di atas dicetuskan oleh cadangan Prof Rahman dalam ucapan sambutan dan tribut beliau lebih awal pada Majlis itu. Memetik bahagian berkenaan dalam ucapan beliau:
Berdasarkan … legasi keilmuwan (Pak Syed), saya rasa memang amat wajar dan tiba masanya satu langkah institusional digerakkan oleh pemerintah dan universiti dengan mendirikan Kursi Kecemerlangan Syed Husin Ali dalam bidang Pengajian Malaysia, dan ditempatkan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, tempat beliau bermula dan mengabdikan diri di bidang ilmu. …. Kursi ini (adalah)… simbol keilmuwan tinggi yang merangkumi bukan sahaja khazanah ilmu bahkan himpunan nilai, jiwa, visi dan komitmen Pak Syed yang merentas sempadan universiti menjadi aset negara.
Prof Rahman juga menyentuh “usaha Pak Syed di luar kerangka universiti, iaitu dalam masyarakat sivil atau sektor ketiga, khususnya dalam Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dan Pusat Sejarah Rakyat.“
Prof. Rahman mencadang agar “usaha PSR yang mengkaji sejarah dari bawah dan PSSM ini dapat diberi sokongan dan dukungan material oleh pihak Kerajaan dan juga dari para dermawan demi memastikan kelestarian peranannya dalam memajukan ilmu dan pembinaan tamadun Malaysia yang maju dan dinamik.“
Terima kasih dan sekalung penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas pengumuman dua perkara yang amat bermakna itu.
Gambar-gambar di sekitar Majlis Memperingati Allahyarham Profesor Dr Syed Husin Ali pada 21 September 2024 di Universiti Malaya.