stop-the-covid19

Marilah Kita Bersama-Sama Menghentikan Pandemik COVID-19 dan Membina Semula Ekonomi dan Masyarakat

1.

Pandemik COVID-19 telah menimpakan bencana yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia dan dunia. Bencana ini amat teruk, mempunyai pelbagai bentuk dan berlapis-lapis. Selain daripada kesihatan, masalah ini merangkumi dimensi ekonomi, sosial, budaya, agama dan psikologi dan telah menjejaskan semua lapisan masyarakat. Apa yang sangat penting, pandemik ini memberikan cabaran yang serius kepada tadbir urus negara, memberi ujian yang amat besar kepada barisan kepimpinan dan sistem tadbir urus. Urusan kehidupan dan tadbir urus telah memunculkan apa yang dipanggil ‘normal yang baharu’ atau ‘kelaziman baharu’. Perkembangan ini membawa kedua-dua kesan positif dan negatif, dan banyak pengajaran yang boleh dipelajari.

2.

Seperti yang telah diakui, menangani COVID-19 adalah seperti melawan musuh dalam perang. Walau bagaimanapun, ia bukan suatu peperangan yang biasa kerana kita menghadapi musuh yang tidak dapat dilihat. Nyata sekali, kita memerlukan strategi dan perancangan yang rapi, kebijaksanaan dan keberanian, penggemblengan kepakaran profesional dan sumber material yang relevan, penglibatan organisasi masyarakat sivil, sokongan padu rakyat, dan kerjasama antarabangsa. Untuk menggerakkan semua ini, kita memerlukan arahan dan garis panduan yang jelas dan tepat masanya daripada pihak berkuasa berserta dengan pelan komunikasi yang jelas dan mekanisme yang responsif terhadap input secara berkala daripada orang ramai.

3.

Kita bernasib baik kerana kesemua unsur ini telah digabungjalin ke dalam suatu rangka tindakan terutamanya sejak ‘perintah separa berkurung’ (partial lockdown) dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020. PKP mempunyai impak yang besar bagi menghalang peningkatan eksponensial kes-kes jangkitan COVID-19, dan dalam ‘meratakan keluk’. Kita telah menyaksikan di sesetengah negara tercetusnya penentangan serta rusuhan dan penjarahan untuk mendapatkan makanan, manakala beribu-ribu kematian berlaku walaupun di negara-negara yang paling maju. Di Malaysia, bilangan kematian COVID-19 adalah terkawal pada paras 1.6% (berbanding dengan banyak negara lain pada paras 4.6% hingga 5.6%, bahkan di sesetengah negara maju ada yang mencatat 10%). Dan sangat penting, di Malaysia, ketenteraman awam dan suasana aman damai kekal wujud di seluruh negara. Dalam hubungan ini, PSSM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa terutamanya para wira yang tidak didendang, iaitu para pejuang barisan hadapan yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan, yang sekalipun berdepan dengan  risiko terhadap nyawa mereka tetap melaksanakan tugas yang diamanahkan negara dengan baik sekali. Selain itu, kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat semua kaum, agama dan strata yang secara umumnya memiliki kesedaran sosial, terus bekerjasama, patuh dan penyayang walaupun pada awalnya wujud sikap tidak peduli dan keliru serta tindakan membeli-belah secara panik.

4.

PSSM mengambil maklum bahawa krisis kesihatan awam yang belum pernah berlaku ini juga telah mencetuskan krisis ekonomi dan sosial yang kian mendalam, bahkan di sesetengah negara, ia boleh mencetuskan suatu mala petaka kemanusiaan yang dahsyat. Di Malaysia, penutupan kilang, pejabat, kebanyakan perniagaan dan institusi pendidikan serta sekatan ke atas pergerakan, kesemuanya akan membawa kesan yang menjangkau jauh. Banyak syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan 98.5% daripada semua  pertubuhan perniagaan di Malaysia, yang melibatkan jumlah terbesar tenaga kerja sedang  menghadapi masalah aliran tunai yang serius. Dengan terkurung di rumah, ramai pekerja menghadapi ancaman kehilangan pekerjaan dan pendapatan manakala ramai pula individu dan keluarga terpaksa terus menerus mengorek tabung simpanan mereka.

5.

Pada masa yang sama, kumpulan yang paling miskin dan terancam di dalam masyarakat iaitu golongan gelandangan, kanak-kanak jalanan, pekerja asing dan golongan pelarian sukar untuk mendapatkan sesuap nasi, dan ramai daripada mereka sukar untuk mendapat tempat berteduh. Bahkan ada pula yang terpaksa tinggal bersesak-sesak di rumah pangsa atau pangsapuri sehingga mendedahkan diri mereka kepada risiko jangkitan.

6.

Kehidupan keluarga, keadaan  di tempat kerja, dan dinamika komuniti telah berubah. Keluarga kini menghabiskan lebih banyak masa dalam rumah bersama-sama dalam persekitaran yang sempit. Perlu kita ingat bahawa dalam dunia yang tidak seimbang ini, ruang rumah ditentukan oleh kedudukan kelas, status sosial dan kekayaan. Memang hubungan dan interaksi yang lebih kerap boleh mendatangkan hubungan keluarga yang lebih baik, namun patriarki tetap menjadi masalah dalam  kebanyakan keluarga. Dalam hal ini, ketegangan dan tekanan wujud dalam kalangan ahli keluarga, manakala keganasan rumahtangga terhadap wanita dan kanak-kanak turut tercetus semasa PKP.

7.

Di Malaysia dan juga di seluruh dunia, krisis Covid-19 juga telah memunculkan ciri paling buruk dalam sesetengah kumpulan masyarakat termasuk pemimpin negara seperti gejala ketaksuban, perkauman, kebencian, sikap tidak bertoleransi, tuduh menuduh, penafian dan perbuatan menuding jari terhadap orang lain. Pada masa yang sama, krisis ini juga memunculkan ciri-ciri yang terbaik dalam kalangan umat manusia seperti limpahan empati sesama insan, ikatan mesra dan setiakawan, sikap pemurah, kesukarelawanan, dedikasi dan tidak mementingkan diri, terutamanya dalam kalangan barisan hadapan tanpa mengira sempadan negara, bangsa dan agama. Ia juga menyerlahkan  bakat, gurauan senda mesra, dan kreativiti, serta penghasilan lebih banyak penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang, terutamanya berkaitan dengan kesihatan awam. Semuanya ini menjanjikan harapan dan keyakinan masa hadapan bagi kita untuk bersama-sama membina semula kehidupan dan dunia baharu.

8.

Di Malaysia, pada 11 Mac Kerajaan  telah menubuhkan sebuah badan berkuasa tinggi, iaitu Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bagi menangani masalah ekonomi dan cabaran yang timbul daripada pandemik ini, serta merangka rancangan dan strategi. Dua pakej rangsangan ekonomi setakat ini telah dilancarkan dengan pakej RM250 bilion pada Mac 27, di mana RM25 bilion adalah untuk memberi bantuan sekali sahaja bagi meringankan beban kumpulan yang berpendapatan rendah, manakala  satu pakej tambahan sebanyak RM10 bilion diumumkan pada 6 April khususnya sebagai subsidi gaji bagi PKS untuk mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya untuk selama enam bulan. Beberapa langkah juga telah diambil untuk memberi makanan dan menempatkan kumpulan yang paling terancam di tempat perlindungan sementara. Memang langkah ini amat dialu-alukan untuk meringankan beban dan mengelakkan pembuangan pekerja secara besar-besaran, namun apa yang lebih diperlukan ialah penggubalan pelan yang berdaya tahan dan responsif risiko untuk jangkamasa sederhana dan panjang.

9.

Kita hidup dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, dan masyarakat kita adalah ‘masyarakat risiko’ di mana kehidupan manusia dan sistem sosial terdedah kepada kedua-dua  bencana semula jadi dan kejutan yang sistemik. Bagi menghadapi masa hadapan dalam era Pasca-COVID-19, PSSM ingin mengemukakan cadangan-cadangan berikut:

a.